Jumaat, 17 Julai 2015

hari kemenangan



    Aku menjenguk ke dapur. Kosong. Tiada makanan untuk iftar hari ni. Aku tergelak kecil sendiri. Penutup Ramadhan yang agak melucukan. Kami berbuka dengan air kosong mengalas perut yang berkerongcong bising. Almari di dapur diselongkar. Bungkusan meggi goreng berjaya ditemui. Ini jelah rezeki kita hari ini, kataku kepada Fatah. Kami berdua tersenyum lucu. Lucu apabila sebulan ini kami berbuka dengan sangat mewah tapi penutupnya dengan meggi goreng.


  Hari ini semua orang sibuk, Syeikh Adeeb dengan rewang permainya dan Ammar dan Naziih tiba-tiba menghilang meninggalkan aku dan Fatah di rumah, terkontang kanting memasak meggi. Namun rezeki kami hari ini masih ada. Tidak semena-mena mereka berdua pulang membawa ayam kentucky dan syawarma. Iftar mereka tiba-tiba batal. LOL. Cepatnya meja bertukar. Tiba-tiba terlebih banyak pula makanannya. Kami ketawa lagi. Mengenang malam satu syawal di perantauan. Berteman meggi, syawarma dan ayam broasted kami menyambut kedatangan satu syawal.

     
   Ada apa dengan aidil fitri ? Aku mencari jawapan. Persoalan sama yang bermain di benakku setiap kali aidil fitri. Apa sebenarnya yang kita raikan ? Jika kemenangan yang diraikan, apakah pula kemenangan itu ?


   Azan isyak pun bergema. Kami bergegas ke masjid. Ini saat yang tak boleh dilepaskan. Takbir raya Solat diimamkan Syeikh Makmun, Syeikh kami yang sangat a'lim quran. Selalu sahaja memilih ayat yang tepat dan sangat mendalam maksudnya. Hari ni beliau membaca ayat tentang mukmin yang menang. Jauh dalam ke kalbu, ayat tuhan menyentakku. Hibanya terasa, berlalu ramadhan dan aku masih belum menjadi orang yang menang.

 
  Takbir raya selepas itu menyentakku lagi. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Indah sungguh rupanya kalimah tuhanku. Kenapa sebelum ini tidak pernah aku sedari. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Pujian seorang hamba kepada tuhannya. Pujian kegembiraan dan terima kasih tuhan kerana menjadikannnya daripada orang-orang yang menang. Pujian kesyukuran kerana menghantar Ramadhan kepadanya.

  Hari ini 1 syawal 1436 barulah aku mengerti. Raya ialah kegembiraan seorang mukmin yang bertukar dari dia yang 1 ramadhan kepada dia yang baru. Jika kita pada 1 syawal tetap sama seperti sebelumnya ? Apakah yang kita rayakan. Adakah aku mampu beraya ?


3.57 AM
1 Syawal 1436
Villa Pelangi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan